WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 11 orang cedera manakala seorang lagi hilang dalam letupan sebuah hotel di pusat bandar Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, kata pihak berkuasa, lapor United Press International (UPI).

Jabatan Bomba Fort Worth dalam hantaran di media sosial berkata daripada mereka yang cedera, seorang dilaporkan kritikal manakala dua lagi dalam keadaan serius berikutan letupan kira-kira 3.30 petang itu.

Jabatan itu berkata letupan di Hotel Sandman Signature Fort Worth Downtown itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas namun tidak menolak kemungkinan faktor lain.

Polis berkata mereka telah menutup radius dua blok di sekitar hotel kepada lalu lintas.

-- BERNAMA